SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan disambut meriah dengan kehadiran lebih 20,000 orang di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan.
Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.
Selain itu, turut hadir termasuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Lebih 80 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 peringkat negeri di Padang MBS di sini, hari ini.
Perbarisan terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Anggota Lainlain Pangkat dari Batalion Kelima Belas Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib, Pegawai Panji-panji Pegawai Panji-Panji ialah Leftenan Muhammad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Sarjan Mejar Rejimen ialah PWI Bilal Harun.
KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major PW2 Mohd Saiful Mohd Haniff.
Antara iringan muzik yang dimainkan memeriahkan majlis adalah lagu Pahlawanku, Perwiraku, Gagah Setia, Lemak Manis, Prebet Lapok, Teluk Bayu, Ikatan Asmara dan lagu-lagu patriotik yang menyerikan lagi majlis penuh warna-warni ini.
Turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara diketuai Aminuddin manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Badaruddin.
Perarakan turut menyaksikan aset artileri dan Kontinjen Tempur Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa aset jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
Turut mencuri tumpuan dalam perarakan adalah Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan serta Kelab Basikal Tuo Soghomban.
Persembahan Khas turut ditampilkan bagi menterjemah maksud tema Hari Kebangsaan 2024 iaitu Malaysia Madani Jiwa Merdeka melibatkan artis Farhan Azizan, Suki Low dan kumpulan kebudayaan yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).
Antara kumpulan kesenian yang turut serta Soka Gakkai, Unique Art, Persatuan Seni Silat Tanah Baru Chemandee, Pancang 12 Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia dan Kumpulan Seni Mempertahankan Diri Dinamik Markas 1 Briged.