Lebih 220 calon sertai Bengkel Persediaan UPKK anjuran JHEAINS

PORT DICKSON: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menganjurkan Bengkel Skor A UPKK Daerah Port Dickson 2025 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.
Seramai lebih 220 orang calon UPKK dari seluruh daerah Port Dickson telah menyertai bengkel ini.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif JHEAINS untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang teknik menjawab soalan dengan tepat serta membantu mereka membuat ulang kaji bagi subjek-subjek penting UPKK.
Sesi perkongsian tips dan teknik menjawab telah disampaikan oleh empat penceramah iaitu Ustazah Siti Fauziah Jaafar, Ustazah Nur Atikah Mohd Isa, Ustazah Siti Mariam Nyata dan motivator Ustaz Mohd Farid Redzwan.
JHEAINS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pegawai Daerah Port Dickson, Nurhazelin Makeli, serta barisan guru dan ibu bapa atas kerjasama erat dalam menjayakan program ini sebagai sebahagian daripada agenda kecemerlangan ummah.
Semoga semua calon UPKK dipermudahkan dalam menjawab soalan dan mencapai kejayaan yang cemerlang.




