Lebih 800,000 kenderaan dijangka banjiri Negeri Sembilan sempena Deepavali

SEREMBAN: Sempena perayaan Hari Deepavali akan datang, Polis Negeri Sembilan menjangkakan sebanyak 800,000 kenderaan bakal membanjiri negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato’ Alzafany Ahmad berkata, ia akan mencatatkan peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding 460,00 kenderaan pada hari biasa.
“Peningkatan tersebut adalah kerana cuti hujung minggu yang panjang bersekali dengan cuti tambahan dua hari yang diberikan kepada warga sekolah.
“Ops Lancar juga akan diadakan bermula 17 Oktober hingga 21 Oktober ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
“Pemantauan dan rondaan juga akan dipertingkatkan di 19 lokasi panas dan tiga titik hitam di seluruh negeri.
“Beberapa laluan dijangka mengalami kesesakan termasuk di Lebuhraya Utara Selatan (Nilai hingga Pedas-Linggi), Lebuhraya Kajang-Seremban (Pajam-Ampangan), Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Seremban-Tampin.
“Saya ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati di kawasan tumpuan, dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik,” kata Alzafany.