Berita

Lebihan ihram wajar disalur semula kepada TH bantu jemaah lain

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

NILAI: Lebihan satu atau dua set kain ihram yang tidak digunakan sepanjang musim haji disaran disalurkan semula kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan ia dikitar semula dan dimanfaatkan oleh jemaah lain pada masa akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, langkah itu bukan sahaja mengelakkan pembaziran, malah membuka peluang kepada lebih ramai umat Islam mendapat manfaat daripada bahan yang masih elok digunakan.

“Lebihan satu atau dua set ihram yang tidak digunakan itu sepatutnya disalurkan kembali kepada Tabung Haji supaya ia boleh dikitar semula dan digunakan semula oleh jemaah lain.

“Ini bukan sahaja lebih baik dari segi pengurusan, malah memberi nilai tambah kepada persiapan bakal jemaah haji pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Menurutnya, amalan tersebut selari dengan konsep Islam yang menolak pembaziran serta menggalakkan penggunaan sumber secara berhemah.

Tambah beliau, pendekatan itu juga seiring dengan inisiatif Haji Lestari yang diperkenalkan TH bagi musim haji 1447H/2026, yang menekankan budaya sifar sisa melalui pengurusan dan kitar semula kain ihram terpakai.

“Melalui inisiatif itu, kain ihram yang dikumpulkan akan diproses semula untuk kegunaan akan datang, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada jemaah, malah kepada alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan bakal jemaah haji dari negeri ini agar menunaikan ibadah dengan penuh penghayatan, kesabaran dan ketakwaan, selain mengelakkan pembaziran sepanjang berada di Tanah Suci.

Katanya, peluang menunaikan ibadah haji ketika ini amat terhad dan hanya diberikan kepada individu terpilih, justeru setiap jemaah perlu memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin.

“Kita mendoakan agar para peserta dan jemaah haji yang akan berangkat seawal April ini dapat menunaikan ibadah dengan baik dalam keadaan negara dan di Mekah aman, tanpa sebarang konflik, serta selamat pergi dan kembali.

“Alhamdulillah, kita lihat mereka telah dipersiapkan dengan ilmu ibadah haji yang sempurna dan diharapkan mereka benar-benar dapat menghayati serta memahami setiap ibadah yang dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau turut menasihati jemaah agar bersabar sepanjang menunaikan ibadah haji, selain mengekalkan disiplin dan adab sebagai tetamu Allah.

Show More

Related Articles

Back to top button