Berita

Lebuhraya WCE Selatan bakal merentasi Port Dickson – Melaka – Gelang Patah

Lebuhraya sepanjang 311 kilometer dengan kos RM63 bilion

SEREMBAN: Laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah dimasukkan di dalam perancangan projek Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) yang diterbitkan oleh Kementerian Kerja Raya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, cadangan jajaran Laluan Lebuhraya WCE ini juga melibatkan Negeri-negeri di selatan termasuklah di Negeri Sembilan, akan tetapi ianya masih di peringkat perancangan oleh Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya.

Inisiatif pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah yang dianggotai Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan penyelarasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah mengemukakan cadangan infrastruktur bagi menyokong inisiatif tersebut.

“Antara wishlist yang dikemukakakan turut melibatkan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) yang menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor.

“Jajaran WCE Selatan dari Banting (Selangor) merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah (Johor)

“Projek pembinaan lebuhraya ini dianggarkan sepanjang 311km dengan kos kira-kira RM63 bilion yang sepertimana projek lebuhraya lain akan melibatkan pihak swasta secara konsesi.

“Projek ini yang sekiranya direalisasikan pada sepanjang pantai Port Dickson akan memberi limpahan ekonomi dan pembangunan kepada rakyat di Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Chuah, Yew Boon Lye (PH), di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Yew bertanya berkenaan cadangan lanjutan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) ke selatan tanah air iaitu dari Banting, Selangor, ke Gelang Patah, Johor, seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2025 menekankan kepentingan projek infrastruktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Projek WCE Selatan dijangka membawa pelbagai perkembangan positif kepada beberapa daerah di negeri terbabit terutama daerah di Pantai Barat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Apakah status cadangan projek ini dan perincian jajaran laluan tersebut di Negeri Sembilan?

Show More

Related Articles

Back to top button