Lencana Jalur Gemilang semarak semangat cinta negara sejak bangku sekolah

KUALA LUMPUR: Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah yang mula diperkenalkan sejak Isnin diyakini mampu menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dato’ Azman Adnan.
“Walaupun ia sekadar lencana kecil, tetapi memberi impak yang besar.
“Bila pelajar memakai lencana ini setiap hari, ia bukan saja membangkitkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, malah secara halus memupuk semangat patriotik yang mendalam.
“Ini bukan sekadar hiasan, ia simbol kebanggaan dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Bila mereka pergi bertanding ke luar negara, mereka bawa nama dan imej Malaysia.
“Imej Jalur Gemilang yang menggambarkan perpaduan 13 negeri dan satu Wilayah Persekutuan juga mampu memperkukuh solidariti rakyat sejak di bangku sekolah lagi.
“Dari sudut psikologi, amalan memakai lencana, menyanyikan lagu ‘Negaraku’ dan melafazkan Ikrar Rukun Negara setiap hari akan secara tidak langsung membentuk rasa hormat, tanggungjawab dan cinta kepada negara dalam diri pelajar.
“Ini semua kita tanam dari kecil, supaya bila mereka dewasa nanti, nilai-nilai ini dah jadi sebahagian daripada diri mereka – bukan sekadar teori, tapi turut dizahirkan dalam tindakan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang secara berperingkat di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru dengan matlamat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.