Berita

Life Science Park Enstek dijangka wujud sehingga 15,000 peluang pekerjaan

SENDAYAN: Pembangunan Techpark Enstek Life Science Park yang berkeluasan 452 ekar dijangka mewujudkan antara 9,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab industri sains hayat dan teknologi tinggi negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, berkata projek strategik itu akan memfokuskan industri farmaseutikal, bioteknologi, teknologi perubatan serta keseluruhan rantaian nilai sains hayat, selari dengan agenda penyusunan semula ekonomi negeri berteraskan pertumbuhan mampan dan pekerjaan berpendapatan tinggi

“Pembangunan Life Science Park di Techpark Enstek merupakan hasil sinergi antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta, khususnya TH Properties, dalam merealisasikan ekosistem industri berasaskan teknologi dan inovasi masa depan.

“Projek berkenaan turut menyokong prestasi ekonomi negeri yang diunjurkan berkembang antara 4 hingga 5 peratus pada tahun 2025, dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, lebih rendah berbanding purata nasional.

“Selain peluang pekerjaan, Negeri Sembilan turut dijangka menarik pelaburan bernilai RM8 billion menjelang 2026, disokong pelaksanaan projek strategik di bawah Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021–2025 serta pembangunan kawasan perindustrian baharu dalam wilayah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

“Life Science Park itu juga diperakui sebagai taman industri Halal end-to-end, dengan pengiktirafan Halal Development Corporation (HDC) serta status HALMAS, sekali gus meningkatkan daya tarikan pelabur domestik dan antarabangsa,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Techpark Enstek Life Science Park.

Majlis pecah tanah projek berkenaan berlangsung di tapak Life Science Park, Techpark Enstek, sekali gus menandakan langkah penting ke arah menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan pelabur global dalam sektor sains hayat dan teknologi masa depan.

Show More

Related Articles

Back to top button