Berita

Lorong Seni Seremban terpanjang di Malaysia

SEREMBAN: Lorong Seni Seremban menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records sebagai lorong seni terpanjang di Malaysia, sekali gus mengharumkan nama bandar Seremban di peringkat kebangsaan.

Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Lorong Seni Terpanjang di Malaysia, Lorong Seni Seremban telah berlangsung di Benteng Walk, Seremban.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin; Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Chong Say Hoo; Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, Ir. Ts. Br. Mohd Kamal Mohd Yusof dan Pengarah Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban, Azura Abu Hassan.

Lorong Seni Seremban yang dibangunkan sejak tahun 2019 sepanjang 1 kilometer (perjalanan pergi balik) melibatkan lebih 50 mural dengan kos keseluruhan RM2.5 juta, berteraskan konsep “mengembalikan lorong kepada orang awam”.

Inisiatif ini bukan sahaja memperindah bandar, malah menghidupkan semula ekonomi setempat, menarik pelancong serta mengangkat Seremban sebagai bandar kreatif dan inklusif.

Pengiktirafan ini menjadi satu pencapaian penting buat Majlis Bandaraya Seremban dan komuniti setempat, selari dengan aspirasi mempromosikan Seremban sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 serta memperkukuh kedudukan Lorong Seni Seremban sebagai destinasi seni dan pelancongan utama negara.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button