MAINS bantu asnaf bangkit jadi usahawan

KUALA PILAH: Inisiatif Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menjadi pemangkin perubahan hidup buat golongan asnaf yang kini mampu menjana pendapatan sendiri melalui bidang keusahawanan.
Menurut salah seorang usahawan di bawah MAINS, Zulfaidah Ahmad, 36, pengalaman berniaga sebelum ini tidak mudah kerana kekurangan kemudahan dan bimbingan.
Zulfaidah yang juga ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, MAINS bukan sahaja memberi bimbingan, tetapi juga mencipta ruang kepada peniaga kecil untuk bersama usahawan berjaya.
Perusahaan cincau yang diusahakannya bukan sahaja mendapat sambutan di Negeri Sembilan, tetapi juga luar daripada negeri itu.
“Sebelum ini saya simpan stok dalam kotak ais dan kadang-kadang terpaksa tumpang peti ais jiran, tetapi selepas MAINS beri saya peti sejuk, lebih mudah untuk saya berniaga dan simpan stok.
“Alhamdulillah setakat ini pendapatan makin meningkat sebab MAINS banyak bantu saya sendiri.
“Mereka bukan sekadar beri bantuan peralatan tetapi juga bimbingan termasuk kursus keusahawanan, banyaklah.
“Apabila kita bergaul dengan ramai usahawan kita dah ada kawan-kawan, jadi mereka banyak berkongsi dan daripada kursus keusahawanan MAINS ini kita berkawan dan kita juga belajar dalam waktu yang sama,” katanya.
Zulfaidah berkata demikian dalam Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm dan Agensi Agama Islam Negeri Sembilan 2025.
Dalam pada itu, usahawan roti, Robiah Lebai Abdul, 60, berkata, selepas mendapat bantuan daripada MAINS, dia membeli mesin pengadun tepung untuk membuat roti pada 2021.
Menurutnya, selepas berhenti bekerja, dia mengusahakan perniagaan roti secara kecil-kecilan, namun selepas mendapat bantuan dan bimbingan daripada MAINS, Robiah berjaya memperoleh sijil halal selain membekalkan makanan ke empat sekolah.
Robiah yang juga berasal dari daerah Johol dan ibu tunggal kepada lima cahaya mata berkata, perniagaan kecil tersebut bukan sahaja menambah pendapatan, malah memberi semangat baharu selepas kehilangan suami dan terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan.
”Pada 2021 saya menerima bantuan daripada MAINS dan daripada situ saya beli mesin pengadun tepung dan peti sejuk.
“Sekarang produk roti saya dihantar di satu sekolah di Tampin dan tiga sekolah di Johol.
“Alhamdulillah, selepas MAINS bantu saya dapat bangkit semula berniaga roti walaupun pernah terhenti semasa pandemik,” katanya.