MAINS perkasa kesedaran zakat dalam kalangan anggota tentera

GEMAS: Program Jelajah Bulan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bersama ATM 2025 dengan tema ‘Perwira Berzakat, Negeri Berkat’ menyantuni warga ATM dengan penganjuran siri ceramah serta kerjasama strategik bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang kali ini berlangsung di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran berzakat dalam kalangan anggota tentera, selaras dengan usaha MAINS memperkukuh syiar Islam melalui pendidikan, dakwah dan pembangunan ummah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej. Jen. Dato’ Mohd. Rashidi Bujai, yang turut merakamkan penghargaan kepada MAINS atas komitmen berterusan dalam mendekati warga ATM melalui pendekatan strategik dan bermanfaat.
Turut diadakan dalam program tersebut ialah penyerahan wakalah zakat Negeri Sembilan berjumlah RM103,000 kepada pihak ATM sebagai sokongan kepada program kerohanian, kebajikan dan pembangunan sahsiah warga tentera di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Sebanyak 16 formasi dan unit ATM menerima manfaat daripada geran kerohanian tersebut, termasuk Markas 1 Briged, Markas Garison Gemas, Pusat Olah Perang Tentera Darat (POPTD), Pusat Latihan Artileri Diraja (PUSARTI), Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Artileri Diraja, Askar Wataniah, Kor Armor Diraja serta beberapa unit sokongan lain, masing-masing menerima antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi melaksanakan aktiviti pengukuhan kerohanian dan kesejahteraan anggota tentera secara lebih tersusun dan berimpak.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi MAINS, Jen. (B) Tan Sri Dato’ Seri Mohd Shahrom Dato’ Nordin; Setiausaha MAINS, Zainal Said; Timbalan Setiausaha (Pengurusan), Mohamad Idris Ramli dan Pegawai MAINS Daerah Gemas, Junaidi Yahaya.
Menurut MAINS, penyertaan ATM dalam skim potongan gaji zakat serta penglibatan aktif mereka dalam program-program dakwah membuktikan komitmen tinggi ATM dalam memperkasa jihad ekonomi ummah.
Kerjasama erat antara MAINS dan ATM ini terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan, kerohanian dan pembangunan syiar Islam dalam kalangan anggota tentera sentiasa terpelihara.
Program ini dijangka dapat meningkatkan jumlah pembayar zakat dalam kalangan warga ATM sekali gus mengukuhkan peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosio ekonomi ummah.
Inisiatif ini turut mencerminkan keprihatinan MAINS terhadap semua lapisan masyarakat termasuk penjawat awam pertahanan negara, selain memastikan setiap umat Islam dapat menunaikan kewajipan zakat ke atas harta mereka dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat secara lebih sistematik dan berkesan.




