MAINS salur RM20,000 bantu bekas pemandu E-Hailing terlantar akibat kemalangan

JELEBU: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan bantuan hampir RM20,000 kepada seorang bekas pemandu e-hailing yang kini terlantar akibat kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.
Dalam satu sesi ziarah di Jelebu, MAINS melawat penerima bantuan perubatan, Syazwan, 30, yang sedang menerima rawatan di Wad Rehabilitasi, Hospital Tuanku Ja’afar sejak Mac 2026 akibat luka tekanan (bedsore) kerana terlalu lama terlantar.
Syazwan dilaporkan mengalami kecederaan putus saraf tunjang selepas terlibat dalam kemalangan ketika bekerja sebagai pemandu e-hailing pada Januari 2025.
“Dahulu keluar mencari rezeki demi keluarga, hari ini terlantar menanggung ujian yang tidak pernah diduga,” menurut kenyataan MAINS.
Menurut MAINS, anak sulung daripada tiga beradik itu kini sedang menjalani proses pemulihan dengan penuh ketabahan walaupun kehidupannya berubah sepenuhnya akibat insiden tersebut.
Dalam lawatan berkenaan, MAINS turut menyampaikan sumbangan tunai bagi membantu meringankan beban sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
“Sejak tahun 2025, MAINS telah menyalurkan bantuan hampir RM20,000 merangkumi ubat-ubatan saraf, peralatan perubatan serta kos ambulans demi memastikan kebajikan beliau terus terbela,” menurut kenyataan itu lagi.
Hadir sama menyampaikan bantuan ialah Pegawai MAINS Daerah Jelebu, Hazmi Abdul Kadir bersama pasukannya.



