Kerajaan Peruntuk RM3.5 Juta Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri menerusi tiga inisiatif strategik melibatkan pembangunan infrastruktur usahawan, pengukuhan pemasaran produk tempatan serta program pemerkasaan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam, inisiatif berkenaan digerakkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) bagi memperkasa usahawan tempatan secara lebih menyeluruh.
“Antara projek utama yang akan dilaksanakan ialah pembangunan Galeri NS Choice di Sunggala Prima sebagai platform mempromosikan produk usahawan Negeri Sembilan.
“Projek itu akan dilaksanakan oleh PKNNS menerusi peruntukan di bawah inisiatif Bajet Kerajaan Negeri melalui Vot B18 dengan siling sebanyak RM500,000.
“Galeri ini dijangka menjadi platform strategik bagi memperluaskan akses pasaran selain meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran produk tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut meluluskan pembangunan Hub Pengumpulan dan Jualan Produk PMKS Negeri Sembilan di Dataran Usahawan Seremban 2 sebagai pusat sehenti yang lebih komprehensif untuk komuniti usahawan.
“Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk gudang penyimpanan, pusat runding cara usahawan, studio, bilik seminar, bilik mesyuarat, perkhidmatan kurier, lot jualan, lot medan selera serta ruang sewaan “post mail”.
“Projek ini menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah Vot Pembangunan (P62) UPEN menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Negeri Sembilan.
“Kerja pembinaan akan dilaksanakan oleh pasukan teknikal PKNNS selepas mendapat persetujuan bertulis daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Veerapan berkata, inisiatif itu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan selain mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih moden dan berdaya saing.
Sementara itu, Program Pemerkasaan NS Choice 2.0 turut diperkenalkan bagi membantu usahawan meningkatkan standard produk dan kesiapsiagaan menembusi pasaran lebih luas.
“Program ini akan melibatkan penyertaan 30 syarikat dengan bengkel audit secara “one-to-one” dikendalikan oleh SIRIM sekitar awal Jun depan.
“ Ia turut menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah inisiatif Bajet Kerajaan Negeri menerusi Vot B18 bagi bertujuan membantu syarikat peserta memperkukuh aspek pematuhan standard, kualiti produk dan pensijilan,” katanya.
Melalui program itu, kerajaan negeri membuktikan komitmennya terhadap agenda pembangunan keusahawanan sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri, sejajar dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memperkasa ekonomi tempatan secara inklusif dan mampan



