Makan Beradat di Muzium Negeri Sembilan

SEREMBAN: Muzium Negeri Seremban menjadi lokasi penganjuran program Makan Beradat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang menghimpunkan para pengarah dari Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri-Negeri.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar, serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Hanafi Samad.
Sebelum sesi Makan Beradat dimulakan, para delegasi mengikuti sesi bergambar dan taklimat lawatan berpandu yang disampaikan oleh Ketua Penolong Kurator, Muhammad Zaki Razani, mewakili Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Taklimat tersebut memberi pendedahan ringkas berkaitan sejarah Negeri Sembilan, Adat Perpatih serta peranan Muzium Negeri sebagai pusat pemeliharaan warisan.
Kehadiran delegasi turut disambut oleh Pembantu Muzium Unit Muzium Negeri, Nursuaidah Rahaman bersama kakitangan LMNS.
Pelaksanaan Makan Beradat ini memberi peluang kepada para tetamu untuk mengenali dengan lebih dekat amalan tradisi masyarakat Negeri Sembilan, khususnya konsep makan berjamba yang menekankan nilai kebersamaan, kesederhanaan serta tertib dalam penyajian makanan.
Hidangan disediakan secara beradat dengan menu tradisional seperti daging salai masak lomak cili api, ayam goreng berempah, sayur kacang, ulam-ulaman bersama sambal belacan, ikan masin, buah pisang, sirap selasih serta nasi putih.
Selain itu, hidangan tambahan berupa masakan autentik Negeri Sembilan, iaitu kari kepala kambing, turut disediakan berdasarkan tempahan.




