Malaysia lonjak sebagai kuasa semikonduktor

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kedua bagi tahun 2025 telah membincangkan strategi pembiayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) secara mendalam.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kerajaan Malaysia mahu menjayakan peralihan dasar daripada bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) kepada pendekatan ‘Made By Malaysia’, dengan fokus melahirkan pemain industri Malaysia yang unggul di peringkat serantau dan global, serta mencipta IP, teknologi dan produk Malaysia sendiri.
“Walaupun industri semikonduktor kita buat masa ini tidak terjejas secara langsung oleh tarif Amerika Syarikat, penting untuk kita terus memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif.
“Kita perlu mempergiatkan agenda reformasi ekonomi dan industri, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di persada dunia,” kata beliau.
Turut hadir dalam mesyuarat ini Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof dan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli.