BeritaMenarik

Malaysia mampu tangani pengimportan sisa plastik menerusi Kepengerusian ASEAN

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan sedang mengambil langkah-langkah dalam mengekang aktiviti pengimportan sisa plastik di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu ini mampu ditangani secara keseluruhan menerusi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan.

Kerajaan telah memperketatkan sistem kawalan dan meningkatkan mekanisme penguatkuasaan di pintu masuk negara bersama agensi seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta meningkatkan tindakan penguatkuasaan bersepadu di pelabuhan dan kilang-kilang haram memproses sisa import bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan juga telah memperkukuhkan kerjasama dalam perkongsian maklumat dengan organisasi antarabangsa termasuk Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain dan memuktamadkan cadangan perwakilan kuasa daripada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi jenayah alam sekitar melibatkan sisa plastik.

“Kementerian juga akan membawa cadangan hala tuju pengurangan kuota import sisa plastik selari dengan hasrat untuk menumpukan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high growth, high value) ke Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dianggotai pelbagai kementerian.

“Menerusi kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan, Malaysia ingin membawa isu penjajahan sisa (waste colonisation).

“Negara ASEAN sering menjadi mangsa penjajahan sisa oleh negara maju bagi mengeksport sisa ke Malaysia dengan alasan ’kitar semula’ namun sebenarnya ingin menjadikan negara sebagai tapak pelupusan dunia yang melanggar prinsip keadilan alam sekitar,” jelas Nik Nazmi.

Nik Nazmi menambah, Malaysia ingin mencadangkan agar negara maju lain mengikut langkah Kesatuan Eropah untuk mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa, khususnya sisa plastik, ke negara-negara bukan OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development).

Show More

Related Articles

Back to top button