BeritaMenarik

Malaysia – Thailand teroka inisiatif baharu, kukuhkan hubungan dua hala

PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia cukup bermakna apabila kedua-dua negara sepakat memastikan semua projek yang dipersetujui bersama di sempadan siap pada masa ditetapkan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek itu adalah penjajaran jalan raya menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.

“Turut menjadi fokus adalah projek pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Sungai Golok di Narathiwat, yang pastinya akan memberi manfaat dalam pelbagai aspek kelak.

“Sebelum itu, saya dan Paetongtarn sempat menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan serta MoU mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi,” kata Anwar.

Perkara itu dimaklumkan dalam sidang media Anwar bersama Paetongtarn usai mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara berjiran ini.

Dalam pada itu, Anwar dan Paetongtarn telah mengadakan pertemuan tertutup membincangkan beberapa perkara terkait kepentingan antara dua negara.

“Kami kemudian mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala dan juga Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7th Annual Consultation – AC) bersempena lawatan sulung Paetongtarn ke negara ini sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu.

“Natijahnya, kami membulatkan tekad mengulangi kerjasama dan hubungan erat antara kedua-dua negara yang berlandaskan kepentingan bersama dan kesalinghubungan ekonomi, dalam konteks dua hala dan ASEAN.

“Menuju ke hadapan, kolaborasi sedia ada akan terarah kepada bidang ekonomi, keselamatan dan kerjasama sempadan, serta meneroka inisiatif-inisiatif baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Saya percaya Malaysia dan Thailand akan memanfaatkan hubungan erat terjalin bagi menerokai kerjasama strategik ketika ini dan juga di masa hadapan bagi melonjak pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” jelas Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button