MALAYSIA-TURKIYE: Kukuh kerjasama ekonomi, pendidikan, pengangkutan dan pertahanan

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC), bagi menetapkan hala tuju kerjasama strategik Malaysia-Republik Türkiye demi manfaat bersama.
Antara perkara utama yang disentuh dalam mesyuarat ini ialah pengukuhan kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang keutamaan, meliputi perdagangan dan pelaburan, industri halal, kewangan Islam, semikonduktor, sistem pengangkutan pintar (ITS), pertahanan dan keselamatan, tenaga dan alam sekitar, unsur nadir bumi (REE), pelancongan serta pendidikan.
Mesyuarat turut meneliti usaha memperluas dan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Türkiye dalam kerangka serantau serta pelbagai hala, khususnya melalui ASEAN, D-8 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di samping bertukar pandangan mengenai situasi semasa di Gaza serta perkembangan keselamatan dan kemanusiaan di Timur Tengah.
Saya menghargai ucapan tahniah yang dizahirkan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand, di samping pengiktirafan terhadap kejayaan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lalu.



