
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap potensi besar Malaysia dan Türkiye dalam melonjakkan perdagangan dan pelaburan melebihi AS$10 bilion (RM44 bilion) dengan memperluas kerjasama dalam sektor semikonduktor, agro komoditi, elektronik, makanan dan minuman, serta pertahanan.
Anwar memaklumkan kemajuan yang dicapai dalam hubungan dua hala Malaysia-Türkiye hasil lawatan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia, terutama menerusi pembentukan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSC).
“Presiden Erdoğan turut menzahirkan kepercayaan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam menguruskan Lapangan Terbang Sabiha Gökçen di Istanbul, dan Insya Allah kerjasama ini akan terus diperkukuh dan dipererat.
“Menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, saya akan mencadangkan kepada sahabat-sahabat ASEAN agar Türkiye dipertimbangkan sebagai Rakan Dialog, sejajar dengan peranan Türkiye yang kian signifikan di rantau ini dan bakal memperluas ruang kerjasama terkait aspek keamanan dan kestabilan.
“Dalam isu Palestin, saya percaya Malaysia dan negara-negara lain harus meneladani kepimpinan luar biasa yang dipamerkan Türkiye dengan menghantar lebih 100 kapal bantuan kemanusiaan.
“Ini satu usaha yang tidak ditandingi oleh mana-mana negara,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut tegaskan bahawa Malaysia akan terus lantang menuntut penyelesaian adil buat rakyat Palestin.
“Akar permasalahan yakni penjajahan berterusan dan perampasan tanah dan pencabulan hak kemanusiaan rakyat Palestin mesti ditangani dengan tuntas.
“Terdahulu, saya dan Presiden Erdoğan menyaksikan pertukaran 11 memorandum persefahaman MoU antara kedua-dua negara, antaranya terkait kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana dan kecemasan, penyelidikan saintifik, pertahanan dan keselamatan.
“Saya dan Presiden Erdoğan turut menyaksikan replika Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) yang menjadi antara subjek utama dalam pertukaran MoU hari ini.
“Alhamdulillah, kunjungan Presiden Erdoğan serta perbincangan yang berteraskan rasa hormat dan saling percaya antara delegasi telah memperkukuh persahabatan dan hubungan strategik Malaysia-Türkiye demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” jelas Anwar.