BAHAU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah merasmikan pembukaan Masjid Ar-Rahim di Bandar IOI.
Aminuddin berkata, masjid ini merupakan masjid kariah bagi jemaah dari Taman Desa Puteri, Taman Kasih Putera, Taman Bahau dan Bandar IOI.
“Alhamdulillah, dengan berdiri teguhnya masjid di hadapan kita ini, maka telah bertambah satu lagi syiar Islam yang menjadi pusat aktiviti umat Islam di Negeri Sembilan khususnya di Daerah Jempol.
“Jika tahun 2023 kita telah menyaksikan penyerahan buah buah masjid baharu di Negeri Sembilan, tahun ini
kita dapat menyaksikan satu lagi masjid yang telah berjaya disiapkan.
“Dengan bertambahnya pembangunan masjid baharu di negeri kita, ini menunjukkan keprihatian kerajaan pusat dan negeri dalam memastikan kemudahan tempat ibadah khususnya umat Islam ditambah berdasarkan keperluan semasa.
“Oleh itu, sebagai rakyat, kita perlu sentiasa menghargai segala kemudahan yang telah disediakan,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata, pembinaan masjid ini telah menelan belanja kira-kira RM6.9 juta dan merupakan salah satu projek di bawah peruntukan Kerajaan Pusat melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Negeri Sembilan dan akan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk diuruskan.
“Di sini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pembangunan Negara (ICU) atas peruntukan yang telah disediakan dan pihak JKR Negeri Sembilan yang telah berjaya memastikan projek pembinaan masjid ini siap mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” jelas beliau.
Menurut Aminuddin, masjid ini boleh menampung kira-kira 1,000 orang jemaah dalam satu masa.
“Dengan siapnya masjid ini diharap dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh ahli-ahli kariah setempat dan seterusnya dapat digunakan sebaik-baiknya.
“Masjid yang telah siap ini juga telah dilengkapi dengan peralatan seperti system siar raya, Bilik Imam, Pejabat, Bilik Mesyuarat, Bilik Azan, Bilik Pengurusan Masjid, Ruang wuduk, Ruang Pengurusan Jenazah, dan lain kemudahan yang turut mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya pasti bahawa penduduk kariah setempat telah lama menanti-nanti waktu selesainya pembinaan masjid ini.
“Diharapkan selepas ini, ahli jawatankuasa masjid yang akan dilantik dapat menyediakan pelbagai aktiviti dan program yang boleh mengimarahkan lagi masjid ini.
“Saya juga berharap agar kemudahan ini dapat dijaga dan diselenggara dengan baik supaya sentiasa dalam keadaan bersih kerana ia melambangkan keperibadian agama kita,” ujar Aminuddin.