Berita

Masjid Seri Pilah yang baharu bakal dibina di Pilah Tengah

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju untuk meroboh dan membina Masjid Kariah Seri Pilah yang baharu ekoran siasatan oleh pihak JKR yang mendapati bangunan masjid itu sudah tidak selamat digunakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri akan membina sebuah masjid baharu, yang lebih baik dan akan memberikan lebih keselesaan khasnya kepada anak kariah.

“Ekoran dari itu, pihak teknikal yang membuat perancangan mendapati tapak asal masjid di Lot 20073 dan Lot 5560 tidak sesuai untuk dibangunkan masjid baharu yang lebih selesa dengan mengambil kira keluasan tapak yang tidak mencukupi, isu keselamatan trafik, keperluan kerja-kerja penambakan tanah, dan ketiadaan ruang mencukupi untuk tempat letak kenderaan.

“Selain itu juga, terdapat keperluan penambakan tanah serta pembinaan tembok penahan setingi lebih kurang tiga meter di bahagian belakang
kawasan masjid yang akan mengakibatkan pertambahan kos yang tinggi.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan telah memutuskan dan bersetuju untuk memindahkan tapak pembinaan Masjid Kariah Seri Pilah ke tapak baharu iaitu di Lot Lot 5616 dan Lot 5618 yang terletak di Pilah Tengah.

“Ini bertujuan memastikan pembinaan dapat dijalankan dengan selamat, berdaya tahan dan selari dengan keperluan semasa serta masa hadapan masyarakat Islam di kariah berkenaan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, tapak baharu ini bukan sahaja lebih luas dan selamat, malah berpotensi untuk pembangunan jangka panjang yang dapat memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti kariah.

“Dengan semangat Hijrah 1447 yang bakali kita sambut, saya menyeru agar seluruh warga Kariah Seri Pilah dapat menerima keputusan ini dengan lapang dada dan memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan pembinaan masjid ini.

“Dengan izin Allah SWT dan dokongan semua pihak, Masjid Kariah Seri Pilah bakal menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan syiar Islam di Daerah Kuala Pilah,” ujar beliau.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, projek pembinaan masjid baharu ini dijangka akan mengambil masa 30 bulan ke 36 bulan untuk disiapkan.

“Proses pengambilan tanah dijangka mengambil masa lebih kurang lapan bulan.

“Seterusnya proses kerja-kerja tanah dan pembinaan struktur bangunan dijangka ambil masa dua setengah tahun hingga tiga tahun untuk disiapkan.

“Kos awalan pembinaan masjid ini sebelum ini dianggarkan RM5 juta dan apabila projek pembinaan berjalan nanti, ada kemungkinan kos akan bertambah mengikut harga pasaran kos barangan asas pembinaan pada tahun depan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button