Menyokong usaha Menteri Agama dan menyanggah fitnah pembangkang berhubung kontrak Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Ahli Friends Of Ministry (FOM) bagi Menteri Agama, Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyambut baik ketegasan Menteri Agama yang tampil memberikan penjelasan tuntas berhubung dakwaan tidak berasas terhadap proses perlantikan syarikat bukan bumiputera oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa berkata, tuduhan kononnya kerajaan hari ini melantik syarikat bukan Bumiputera dengan kontrak bernilai RM20 juta bagi kerja penjenamaan TH adalah bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab serta jelas bermotif politik murahan.
“Fakta yang dibentangkan oleh Menteri Agama menunjukkan sebaliknya, iaitu sepanjang tempoh pihak pembangkang menerajui portfolio agama dari Mac 2021 hingga November 2022, sebanyak 23 syarikat Bukan Bumiputera telahpun menerima kontrak berjumlah lebih RM55 juta di bawah pentadbiran mereka sendiri.
“Ini membuktikan bahawa isu sebenar bukanlah soal kaum atau sentimen perkauman seperti yang cuba dimainkan, tetapi soal profesionalisme, integriti dan tadbir urus.
“Seluruh proses perlantikan vendor TH dibuat melalui penilaian ketat, mematuhi polisi perolehan korporat dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah TH mengikut prinsip tata kelola terbaik,” jelas Mohd Isam.
Menurut Mohd Isam, adalah lebih penting, Tabung Haji kekal konsisten mendokong agenda pemerkasaan ekonomi Ummah, dengan 81 peratus vendor TH pada tahun 2024 terdiri daripada syarikat Bumiputera, meliputi 70 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi.
“Justeru itu, cubaan pihak pembangkang memainkan isu perkauman hanyalah usaha terdesak mengelirukan rakyat dan merosakkan kredibiliti institus umat Islam yang terpenting di negara ini.
“Kami berdiri teguh menyokong langkah Menteri Agama serta pengurusan TH dalam memastikan kelangsungan tadbir urus yang telus, professional, dan sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit,” kata Mohd Isam.