Berita

Mesej antidadah disebarluas kepada pengunjung Jelebu Agrofest 2025

Platform besar seperti penganjuran Jelebu Agrofest 2025 oleh Jabatan Pertanian Negeri Sembilan wajar digunakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menyebarluas mesej antidadah kepada orang ramai terutamanya kepada komuniti setempat.

Oleh itu, AADK Daerah Jelebu tidak melepaskan peluang untuk mendekati komuniti melalui aktiviti ‘walking message’ dan pameran antidadah sempena penganjuran program ini yang telah berlangsung pada 22 Jun 2025 di Stadium Mini Kuala Klawang, Jelebu.

Jelebu Agrofest 2025 dirasmikan oleh EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Dato’ Seri Jalaluddin Alias.

Seramai lebih kurang 400 orang pengunjung termasuk komuniti setempat, pelajar sekolah, usahawan tani dan pempamer dari pelbagai jabatan dan agensi telah hadir memeriahkan program.

Pihak AADK telah membuka sesi pendaftaran sebagai Sukarelawan Antidadah (SKUAD Antidadah), mengedarkan risalah perkhidmatan dan mesej antidadah kepada para pengunjung serta memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri bagaimanakah rupa bentuk substans berbahaya melalui replika bahan terlarang beserta kesannya di reruai pameran AADK.

AGROFEST ataupun AGROFESTIVAL ini merupakan penjenamaan semula bagi program yang dahulunya dikenali sebagai Hari Ladang yang menjadi program tahunan Jabatan Pertanian.

Tahun ini, daerah Jelebu menjadi daerah pertama yang membuka tirai penganjuran program tahunan ini dan menjadi pusat sehenti untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama masyarakat terutamanya bagi memberikan pendedahan dan mempromosi teknologi baharu, ilmu dan kemahiran bermanfaat dalam bidang pertanian.

Bagaimanapun, aktiviti pertanian juga merupakan satu aktiviti yang boleh meningkatkan faktor pelindung serta berpotensi menjadi satu aktiviti sihat yang boleh dilakukan oleh masyarakat sebagai alternatif kepada aktiviti gaya hidup sihat lain yang biasa dipromosikan seperti sukan dan riadah.

Show More

Related Articles

Back to top button