Berita

Negeri Sembilan beri keutamaan aspek siapsiaga hadapi bencana alam

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana, khususnya banjir yang sering melanda negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, bagi memperkukuhkan persediaan, Kerajaan Negeri telah menambah aset baharu berupa jambatan Bailey jenis Acrow 700XS Extra Wide berukuran 42.67 meter (140 kaki) dengan kos sebanyak RM4.5 juta.

Jambatan ini ditempah melalui GTA Vision Sdn Bhd dan dibuat di Amerika Syarikat dengan tempoh penghantaran selama enam bulan serta diterima secara rasmi pada 11 Julai 2025.

“Dengan penambahan ini, Kerajaan Negeri kini memiliki sebanyak tiga set jambatan Bailey yang boleh digerakkan segera apabila berlaku bencana atau gangguan jambatan kekal.

“Aset ini akan ditempatkan di stor Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah sebagai langkah kesiapsiagaan.

“Selain itu, seramai 10 anggota JKR Kuala Pilah telah dilatih secara berterusan sebagai pasukan khas yang kompeten dalam kerja-kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pengendalian jambatan Bailey di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri yakin, dengan kepakaran pasukan yang terlatih dan sokongan penuh pelbagai agensi serta masyarakat, setiap aset yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Bencana datang tanpa diduga, namun dengan persiapan yang rapi, kita mampu menghadapinya dengan lebih baik,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button