BeritaMenarik

Negeri Sembilan berpotensi besar menjadi hab utama semikonduktor

SEREMBAN: Negeri Sembilan berpotensi tinggi untuk menjadi hab utama industri semikonduktor di Malaysia dengan perancangan dan gerak kerja yang komprehensif, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik iaitu terletak tidak jauh dari Lembah Klang dan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang.

“Ini ditambah dengan kelengkapan infrastuktur yang menjadikan Negeri Sembilan sebagai tempat yang ideal untuk menjalankan perniagaan.

“Sebagai contoh, kita mempunyai beberapa syarikat utama dalam sektor semikonduktor yang telah lama bertapak di Negeri Sembilan seperti On Semiconductor, TDK-Lambda, Samsung, Nexperia dan banyak lagi.

“Ini membuktikan kepercayaan syarikat utama dunia dalam sektor semikonduktor untuk melabur di negara kita, khususnya di Negeri Sembilan.

“Saya berkeyakinan bahawa kita mampu menarik lebih ramai syarikat-syarikat gergasi dalam sektor semikonduktor untuk melabur di Negeri Sembilan,’ katanya selepas Majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV) di Sungai Gadut.

Sementara itu, Aminuddin berkata, NSSV yang juga merupakan sebahagian daripada kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), dirangka bagi pembangunan teknologi yang memfokuskan kepada industri semikonduktor di Negeri Sembilan.

“Inisiatif pembangunan ini adalah bagi meningkatkan penglibatan Negeri Sembilan dalam industri berkenaan seiring dengan strategi dan dasar Kerajaan Malaysia yang dirangka di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR).

“Strategi ini adalah bertepatan dengan perkembangan industri semikonduktor di Malaysia yang terus berkembang pesat pada 2024 untuk memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

“Malaysia kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dan menguasai 13 peratus daripada pasaran global dalam perkhidmatan pembungkusan, pemasangan, dan ujian cip semikonduktor,” jelas Aminuddin.

Beliau berkata, sektor ini juga dianggap penting bagi rantaian bekalan global didorong oleh peningkatan permintaan cip dan kemajuan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang pasti akan terus merangsang pertumbuhan industri semikonduktor untuk beberapa tahun yang akan datang.

“Pembangunan NSSV dilihat mampu menjadi katalis kepada pembangunan ekosistem semikonduktor yang inklusif dengan integrasi syarikat kecil dan sederhana (SME) kedalam rantaian bekalan seterusnya merangsang keseluruhan industri di Negeri Sembilan.

“Untuk itu, tidak mustahil kita akan dapat melihat lebih banyak kawasan industri semikonduktor baharu yang akan dibuka pada masa hadapan.

“Pada masa ini, NSSV telah mula menarik minat beberapa syarikat untuk melabur di kawasan ini.

“Saya yakin pembangunan NSSV mampu menawarkan prospek kerjaya yang berkualiti kepada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

“Ini secara tidak langsung akan memberi impak yang besar terhadap pembangunan modal insan dan ekonomi negara,” ujar Aminuddin lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button