BeritaMenarik

Negeri Sembilan jadi pilihan pelabur

SERI MENANTI: Negeri Sembilan terus menjadi pilihan para pelabur dan Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan libat urus bersama pelabur yang berpotensi baik dari dalam mahupun dari luar negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Malaysia Investment Development Authority (MIDA) melaporkan pada tahun 2023 Negeri Sembilan telah berjaya mencatatkan rekod pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM10.1 bilion.

“Sehingga suku kedua tahun 2024, sebanyak RM3.0 bilion pelaburan telah direkodkan dan kita optimis akan menyamai rekod pelaburan tahun lalu,” katanya.

Aminuddin menambah, gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan diperkukuh melalui Majlis Pelaburan Negara yang bersidang pada 16 Oktober 2024 telah meluluskan inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah yang merangkumi Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Inisiatif ini bagi mewujudkan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usahasama dan sinergi kolaborasi antara negeri dalam memacu pelaburan bersasar.

“Usaha ini juga sejajar dengan agenda yang diterapkan dalam New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan yang melibatkan Bandar Enstek serta Nilai.

“Kerajaan Negeri juga sepakat menyokong cadangan jaringan lebuh raya baharu melibatkan Lebuh raya Senawang – KLIA (SKLIA) serta sambungan Lebuh raya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor.

“Patik percaya jajarannya WCE sepanjang pantai Port Dickson akan memberi limpahan ekonomi dan pembangunan kepada rakyat di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Institusi Beraja di Negeri Sembilan adalah tonggak kekuatan negeri dan rakyat pelbagai kaum selain Kebawah Duli Tuanku berperanan sebagai penaung agama Islam.

“Di bawah naungan Tuanku, pembangunan syiar Islam di Negeri Sembilan juga mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan RM31.8 juta yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2023 untuk pembinaan lima buah masjid di negeri ini.

“Lebih menggembirakan lagi, Negeri Sembilan telah dua tahun berturut-turut dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan,” ujar Aminuddin lagi.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button