Berita

Negeri Sembilan perkenal bandar pembuatan AI fotonik bernilai AS$20 bilion

SEREMBAN: Negeri Sembilan mengumumkan pembangunan Bandar Pembuatan AI Fotonik Termaju Nilai, sebuah projek berimpak tinggi yang bakal memposisikan Malaysia sebagai peneraju awal dalam teknologi pengkomputeran fotonik dan semikonduktor generasi baharu di peringkat global.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pembangunan berkenaan direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Hosein Family Office dari Amerika Syarikat dan Gan Family Office dari Malaysia, melibatkan pelaburan berskala besar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, projek bernilai kira-kira AS$20 bilion itu dijangka mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan jangka panjang, termasuk 40,000 pekerjaan mahir bergaji tinggi serta 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung merangkumi pelbagai industri sokongan.

“Bandar ini akan dibangunkan sebagai ekosistem teknologi lengkap, meliputi kemudahan penyepaduan cip fotonik, kilang interposer kaca dan pandu gelombang, barisan pemasangan sistem pengkomputeran AI, pusat penyelidikan digital berkembar serta AI masa nyata peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembangunan itu turut merangkumi penubuhan akademi latihan teknologi dan kejuruteraan teknologi mendalam, selain sebuah perbandaran bersepadu bagi menyokong pertumbuhan industri serta keperluan tenaga kerja.

Aminuddin menjelaskan, teknologi pengkomputeran fotonik yang diperkenalkan menerusi projek ini membolehkan pemprosesan data menggunakan cahaya berbanding elektrik, sekali gus menawarkan kelajuan jauh lebih tinggi, pengurangan haba dan kecekapan tenaga yang lebih optimum.

“Pendekatan ini membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan melangkaui pembuatan semikonduktor konvensional, sejajar dengan keperluan AI termaju dan infrastruktur digital masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, seni bina semikonduktor berasaskan fotonik kini dilihat sebagai platform seterusnya dalam evolusi teknologi global, dengan keupayaan menyokong prestasi berskala besar serta sistem perindustrian generasi baharu.

Pembangunan Bandar Pembuatan AI Fotonik Termaju Nilai ini sekali gus dijangka menjadikan Malaysia antara negara terawal membangunkan platform semikonduktor masa depan dan hab pembuatan semikonduktor fotonik berskala besar pertama di Asia Tenggara.

Show More

Related Articles

Back to top button