Berita

Negeri Sembilan perkukuh sektor pertanian demi jaminan bekalan makanan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terus memberikan perhatian serius terhadap pembangunan sektor pertanian sebagai usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan, merancakkan ekonomi rakyat dan membina ekosistem pertanian yang lebih moden serta mampan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sektor pertanian kini bukan lagi sekadar berkaitan aktiviti penanaman atau pengeluaran hasil, sebaliknya menjadi aspek penting yang melibatkan ekonomi rakyat, peluang pekerjaan, kesejahteraan komuniti luar bandar dan keselamatan negara.

“Hari ini, apabila kita berbicara mengenai pertanian, kita sebenarnya sedang berbicara mengenai masa depan negeri dan negara.

“Isu pertanian tidak lagi boleh dilihat sekadar soal penanaman atau pengeluaran hasil semata-mata.

“Ia berkait rapat dengan soal ekonomi rakyat, peluang pekerjaan, kesejahteraan komuniti luar bandar, keselamatan negara serta yang paling utama ialah keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seremban Agrofestival 2026 di Center Point, di sini, hari ini.

Menurut Aminuddin, selaras dengan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan MADANI, Rakyat Harmoni’, Kerajaan Negeri meneruskan komitmen memperkukuhkan ekonomi melalui pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan berdaya tahan.

Katanya, keterjaminan makanan telah dikenal pasti sebagai Bidang Tumpuan Kedua dalam belanjawan berkenaan bagi memastikan rakyat negeri ini, khususnya golongan B40, terus mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi, berkualiti dan pada harga berpatutan.

Aminuddin berkata, komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif melibatkan sektor tanaman, ternakan, perikanan serta industri asas tani yang memanfaatkan pengusaha kecil, perusahaan mikro dan usahawan komersial.

Sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Negeri, katanya, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan menerima peruntukan sebanyak RM5.4 juta pada tahun 2025 yang telah dimanfaatkan oleh 769 penerima insentif dalam pelbagai kategori pembangunan pertanian.

“Ini bukan sekadar angka. Ini merupakan pelaburan kerajaan bagi membina sebuah ekosistem pertanian yang lebih moden, produktif dan mampu menjamin bekalan makanan negeri untuk jangka masa panjang,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button