Ibu Soko Nan Tua Minta Giliran Undang Luak Rembau Dikembalikan ke Kampung Pulau, Minta Tuanku Muhriz Semak Semula Aturan Asal

SEREMBAN: Ibu Soko Nan Tua, Waris Perut Biduanda Sedia Raja Kampung Pulau, YM Ibu Soko Rashimah Abu Bakar memohon ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir agar sistem penggiliran penyandang pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22 disemak semula dan dikembalikan kepada aturan asal adat yang didakwa memberi hak kepada Kampung Pulau.
Menurut Rashimah, penzahiran Datuk Hassan Abdul Hamid sebagai YTM Undang Luak Rembau Ke-22 didakwa tidak selari dengan sistem penggiliran adat yang diamalkan di Luak Rembau.
“Patik turut merafak sembah dan memohon agar penzahiran Datuk Hassan Abdul Hamid sebagai YTM Undang Luak Rembau Ke-22 dibatalkan serta-merta.
“Patik turut memohon agar hak penyandang pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22 dikembalikan kepada Kampung Pulau iaitu YM Hishamuddin Abu Hassan yang diperakui melalui muafakat serta empat majlis kerapatan yang telah dilaksanakan di telapak bersama YM Ibu Soko Nan Tua,” katanya ketika Sidang Media Penerangan dan Penjelasan Berkaitan Aturan Adat dan Sistem Penggiliran Penyandang Pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22
Dalam sidang media itu, Rashimah berkata, berdasarkan penggiliran adat, penyandang pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22 mempunyai dua cara iaitu Lela Maharaja dan Sedia Raja.
“Carak Lela Maharaja terdiri daripada Kampung Tobek, Kampung Chengkau, Kampung Gadong dan Kampung Kota, manakala Carak Sedia Raja pula merangkumi Kampung Pulau, Kampung Tengah, Kampung Tanjong dan Kampung Bukit.
“Berdasarkan sistem penggiliran yang diamalkan sejak YTM Undang Luak Rembau pertama, Datuk Raja Sri Rama, giliran ke-22 sepatutnya diberikan kepada Kampung Pulau dan bukannya Kampung Tanjong,” katanya.
“Saya menegaskan prinsip adat menetapkan bahawa yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan, yang berhak jangan diketepikan dan yang menunggu jangan dilangkahkan.
Rashimah sedia maklum bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bukan pihak yang memilih bakal Undang, sebaliknya hanya memberi perkenan terhadap calon yang telah dipilih mengikut aturan adat oleh Luak Rembau.
“Kuasa memilih bakal calon terletak kepada empat Datuk Tiang Balai Baroh bukannya Buapak-Buapak Nan Delapan Kampung seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
“Yang Dipertuan Besar hanya memperkenankan calon yang telah sah dipilih menurut aturan adat. Adat mengesahkan, ibu soko, buapak dan anak waris yang menentukan,” katanya.
Rashimah berkata, kuasa Buapak-Buapak Nan Delapan Kampung hanya terbatas kepada urusan menjaga anak buah, waris serta perjalanan adat di kampung masing-masing.
“Sekiranya pemilihan dibuat hanya berdasarkan sebahagian Buapak atau Dato’ Lembaga Nan Dua Belas, ia tidak memenuhi struktur aturan adat Luak Rembau”katanya
Katanya lagi, sekiranya proses pemilihan tidak melibatkan empat Datuk Tiang Balai Baroh, keseluruhan proses penentuan calon dianggap tidak menepati kehendak adat.
Dalam perkembangan sama, Rashimah mendakwa pelantikan Hassan tidak sah kerana tidak melaksanakan beberapa proses adat termasuk ‘Majlis Menampang Adat’ di teratak serta menampung pusaka di teratak isteri seperti yang diwajibkan dalam aturan adat.
“Jika proses ini tidak dipatuhi, maka pencalonan itu turut dianggap cacat dari sudut hukum adat serta sistem penggiliran yang diamalkan di Luak Rembau,” katanya.
Rashimah menegaskan pencalonan yang tidak memenuhi struktur adat tidak sepatutnya diterima kerana bercanggah dengan sistem yang diwarisi sejak sekian lama.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk institusi berkaitan dapat meneliti semula fakta sejarah, struktur adat dan sistem penggiliran agar institusi Undang Luak Rembau terus dipelihara mengikut aturan asal.



