Berita

MPPD Beri Taklimat Projek Naik Taraf Pasar Linggi, Peniaga Bakal Ditempatkan Di Tapak Sementara

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengadakan sesi perjumpaan bersama peniaga Pasar Linggi bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan Projek Naik Taraf Pasar Linggi serta kerja-kerja berkaitan yang dijadualkan berlangsung selama tujuh bulan.

Sesi yang diadakan di tapak Pasar Linggi itu bertujuan memaklumkan skop projek kepada peniaga, selain mendapatkan pandangan dan maklum balas bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi perniagaan.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPD dalam sesi penerangan memaklumkan projek naik taraf tersebut melibatkan penggantian keseluruhan bumbung baharu, pendawaian elektrik baharu, kemasan lantai dan dinding, pembinaan meja jualan (table top) baharu, pemasangan kipas, penyediaan alat pemadam api, pembinaan longkang baharu serta penyediaan sistem meter elektrik berpusat.

Bagi memastikan peniaga dapat meneruskan aktiviti perniagaan sepanjang tempoh pembinaan, MPPD akan menyediakan kawasan penempatan sementara di tapak parkir yang dilengkapi kemudahan asas termasuk khemah, meja, kerusi, bekalan air dan bekalan elektrik.

Selain itu, papan penghadang (hoarding) akan dipasang di kawasan pembinaan bagi memastikan aspek keselamatan orang awam dan peniaga sentiasa terpelihara sepanjang pelaksanaan projek.

Dalam sesi berkenaan, peniaga turut diberikan peluang mengemukakan cadangan dan pertanyaan berkaitan pelaksanaan projek.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk susun atur lot perniagaan, penyediaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV), gangguan monyet, kedudukan kedai makan dan kedai runcit, kadar sewaan, caj utiliti serta penyediaan kipas di setiap lot.

Semua persoalan yang dikemukakan telah dijawab dan diberikan penjelasan oleh pihak MPPD.

Turut hadir ialah pegawai daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPPD yang memberikan penerangan berkaitan kadar sewaan, caj utiliti serta aspek pengurusan dan pentadbiran pasar.

Dalam pada itu, wakil kontraktor turut memberi komitmen untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut spesifikasi, jadual pelaksanaan dan tempoh yang telah ditetapkan.

MPPD berharap sesi libat urus tersebut dapat memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti peniaga, sekali gus memastikan Projek Naik Taraf Pasar Linggi dapat disiapkan mengikut perancangan serta menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

Show More

Related Articles

Back to top button