Berita

Pengarah Politeknik Premier Port Dickson garis visi, perkukuh budaya kerja berimpak

PORT DICKSON: Pengarah Politeknik Premier Port Dickson, Wan Zulkifly Wan Zakaria, menggariskan visi dan hala tuju strategik institusi dengan menyeru seluruh warga kerja memperkukuh budaya kerja berimpak tinggi bagi memastikan institusi terus unggul dalam landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin mencabar.

Amanat itu disampaikan sempena ‘Program Premier Port Dickson: Suara, Visi dan Hala Tuju Bersama Pengarah’ yang berlangsung di Dewan Wawasan, melibatkan penyertaan seluruh warga kerja Politeknik Premier Port Dickson.

Wan Zulkifly berkata, kejayaan sesebuah institusi bukan lagi diukur berdasarkan jumlah program atau pencapaian semata-mata, sebaliknya melalui impak yang mampu diberikan kepada pelajar, industri dan masyarakat.

“Kita perlu bergerak dengan visi yang jelas dan budaya kerja yang berimpak tinggi.

“Setiap usaha bukan sekadar menghasilkan output, tetapi mesti memberi outcome, impak serta nilai tambah kepada pelajar, industri dan masyarakat demi memastikan Politeknik Premier Port Dickson terus kekal relevan dan cemerlang,” katanya.

Beliau turut memperkenalkan kerangka Input, Output, Outcome, Impact dan Foresight sebagai panduan kepada budaya kerja baharu yang lebih strategik dan mampan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,743 pelajar baharu melapor diri bagi sesi pengajian 2026/2027, sambil menyifatkan jumlah itu sebagai amanah besar untuk melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Wan Zulkifly turut merakamkan penghargaan atas pencapaian institusi, termasuk kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus serta kejayaan pasukan pelajar muncul juara keseluruhan FIRA Malaysia Cup 2026.

Beliau mengakhiri amanat dengan mengajak seluruh warga Politeknik Premier Port Dickson terus menjadi ejen perubahan melalui budaya kerja berintegriti, mengutamakan kecemerlangan dan bersama-sama merealisasikan agenda TVET negara.

Show More

Related Articles

Back to top button