SEREMBAN: Sumber tenaga kerja mahir merupakan satu keperluan untuk pasaran buruh di Negeri Sembilan.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, keperluan tenaga kerja mahir perlu khususnya di Negeri Sembilan seiring pembangunan koridor Malaysia Vision Valley (MVV 2.0).
“MVV 2.0 dijangka akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya merangsang perniagaan tempatan,” ujarnya.
Veerapan berkata demikian di Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Dewan Ballroom, KOMBES Negeri Sembilan.
Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 ditaja oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRDCorp bertujuan menginspirasi tenaga kerja Malaysia menerusi pembelajaran sepanjang hayat.
“Usaha KESUMA dan HRDCorp ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan kursus atau latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri, latihan yang bersesuaian dengan pekerja separa mahir serta latihan melalui platform pembelajaran dalam talian,” jelas Veerapan yang juga ADUN Repah.
Dalam majlis ini, turut diadakan Karnival Kerjaya PERKESO yang menawarkan lebih 400 peluang pekerjaan kepada pencari kerja.
Turut hadir, Ketua Pegawai Program HRDCorp, Soffian Mohammed Amin; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Selatan, Mohammad Musa Ahmad, wakil PERKESO, SPRM serta orang ramai.