Berita

Negeri Sembilan peruntuk RM1 juta jayakan SUKNES 2025

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan program Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) terus relevan, berimpak tinggi dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi dan negeri.

Sehubungan dengan pertambahan bilangan acara sukan yang dipertandingkan dalam SUKNES 2025, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah menambah baik peruntukan penganjuran dengan meningkatkan jumlah dana sebanyak RM1 juta bagi memastikan kelancaran pengurusan, logistik, penyediaan fasiliti, serta kebajikan atlet dan pegawai teknikal yang terlibat.

Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Mustapha Nagoor (BN-Palong) berkata, pada masa akan datang, sebarang penambahan acara sukan dalam SUKNES akan dinilai secara holistik meliputi aspek keberkesanan, tahap penyertaan, potensi pembangunan atlet, serta impak terhadap komuniti sukan negeri.

Berdasarkan penilaian tersebut, cadangan penambahan peruntukan akan dikemukakan melalui perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS), persatuan-persatuan sukan negeri, serta agensi kerajaan berkaitan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan kolaborasi strategik bersama pihak swasta, penaja dan badan korporat dalam usaha menambah sumber kewangan alternatif bagi menjayakan SUKNES secara lebih mampan dan lestari.

Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa aktiviti dan program bercorak kesukanan adalah lebih dekat dan merupakan “touch point” kepada golongan belia.

Bagi tahun 2025, sebahagian peruntukan asal RM3,000.00 kepada setiap JPKK Negeri Sembilan telah diselaraskan semula bagi menjayakan program Sukan Negeri Sembilan atau sinonim dengan jenama SUKNES.

Peruntukan bagi belia/beliawanis telah diselaraskan semula kepada RM1,000.00 setiap JPKK.

Berdasarkan keperluan dan permintaan di peringkat akar umbi, jumlah sukan yang dipertandingkan dalam SUKNES tahun 2025 ini telah bertambah kepada lapan jenis sukan berbanding SUKNES yang pertama tahun 2024 yang lalu iaitu 4 jenis sukan.

Sehubungan dengan itu juga, peruntukan khusus bagi aktiviti belia JPKK sebanyak RM1,000.00 setiap JPKK juga boleh disalurkan kepada semua DUN utk menjayakan SUKNES tahun 2025 ini.

Secara keseluruhannya, selain peruntukan khusus kepada golongan belia di peringkat Kampung (JPKK), program dan aktiviti belia masih dilaksanakan melalui jabatan dan agensi berkaitan belia termasuk Jabatan Belia dan Sukan, pihak NGO dan sebagainya.

Mustapha berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN) di Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Bibi Sharliza bertanya, apakah langkah pihak kerajaan bagi menambah baik berkenaan peruntukan bagi program SUKNES dengan adanya penambahan sukan di dalam program ini?

Beliau juga bertanya, apakah alasan kerajaan mengurangkan peruntukkan BELIA dari RM3,000 pada tahun lepas kepada RM1,000 pada tahun ini dan adakah kerajaan bercadang untuk menyemak semula atau menambah peruntukan tersebut bagi memastikan program pembangunan belia dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi di peringkat DUN?

 

Show More

Related Articles

Back to top button