Berita

Negeri Sembilan tingkatkan pengeluaran makanan, kurangkan kebergantungan import

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan terus memperkukuh kapasiti pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import sekali gus meningkatkan keterjaminan makanan negeri dan negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, negara ketika ini masih bergantung kepada import bagi sebahagian besar keperluan makanan asas seperti beras, kelapa, sayur-sayuran, daging dan susu, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko ketidaktentuan harga global, gangguan rantaian bekalan serta perubahan geopolitik antarabangsa.

Beliau berkata, Negeri Sembilan perlu terus meningkatkan pengeluaran beras, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, perikanan dan akuakultur secara berterusan bagi memperkukuh bekalan makanan tempatan.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pelbagai pendekatan termasuk meningkatkan kemahiran petani melalui penggunaan teknologi moden dan aplikasi kecerdasan buatan (AI), menggalakkan penyertaan belia dalam sektor agromakanan, membangunkan infrastruktur sokongan seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran serta memperluaskan amalan pertanian yang cekap dan mampan.

“Saya percaya, sekiranya kita berjaya menggabungkan pengalaman petani, sokongan kerajaan dan kekuatan teknologi, Negeri Sembilan mampu muncul sebagai antara negeri yang menjadi peneraju kepada agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seremban Agrofestival 2026 di Centrepoint Seremban.

Aminuddin turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan peladang, koperasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat supaya terus berganding bahu menjayakan agenda keterjaminan makanan.

“Membina keterjaminan makanan bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia merupakan tanggungjawab bersama,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button