Berita

NS Fest 2025 Tampil Berbeza, Dianjur 12 Hari Hingga Ambang Tahun Baharu 2026

 

NS Fest 2025 tampil dengan kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya dianjurkan selama 12 hari sehingga hujung tahun berbanding penganjuran sebelum ini yang hanya berlangsung selama empat atau lapan hari. Penganjuran kali ini turut diserikan dengan Konsert NS Fest & Ambang Tahun Baharu 2026 sekali gus menyemarakkan suasana sambutan ke ambang tahun baharu.

Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata tempoh penganjuran yang lebih panjang itu memberi peluang lebih luas kepada rakyat serta usahawan tempatan untuk terlibat secara aktif di samping memberi pulangan ekonomi yang lebih besar kepada komuniti setempat.

“NS Fest bukan sekadar acara tahunan tetapi platform strategik yang memperkukuh ekonomi rakyat, memartabatkan budaya tempatan serta menjadi medan penting ke arah menjayakan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,”katanya.

Menurut beliau, kejayaan NS Fest 2024 yang merekodkan kehadiran 1.1 juta pengunjung serta menjana jualan mencecah RM4.3 juta menjadi pemangkin kepada penganjuran NS Fest 2025 yang lebih besar, tersusun dan berimpak tinggi.

Selain pengisian keusahawanan, budaya dan hiburan, NS Fest 2025 turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan rakyat menerusi penganjuran Jualan RAHMAH MADANI serta Karnival Back-To-School yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan rakyat khususnya ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.

NS Fest dianjurkan dengan objektif untuk mewujudkan program penjenamaan negeri yang sinonim dengan Negeri Sembilan di samping mempromosikan produk tempatan, memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta mengukuhkan sektor pelancongan, ekonomi kreatif dan jalinan sosial rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button