NSFC berhasrat bina fasiliti sukan sendiri
SEREMBAN: Negeri Sembilan Football Club (NSFC) berhasrat untuk membina fasiliti sukan sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus berkata, pihak pengurusan sudah menetapkan pelan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat termasuk perancangan menubuhkan pusat latihan sendiri.
“Tujuh pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan baki pemain NSFC dalam kategori Bawah 18 Tahun (B-18) dan B-20 akan membentuk pasukan Piala Presiden 2025. NSFC juga akan menjadi pengendali padang sintetik PBNS (Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan) Rahang.
“Ini akan mewujudkan punca pendapatan baharu. Kerja-kerja perolehan lampu limpah juga sedang berlangsung. Penajaan bagi Pusat Latihan NSFC berjaya diperoleh, sasaran baharu musim baru adalah untuk memiliki pusat latihan sendiri,” tulisnya menerusi aplikasi X.
Sekiranya perkara ini terjadi, NSFC bakal menjadi pasukan Liga Super keempat yang mempunyai pusat latihan sendiri.
Walaupun begitu, pelaburan yang melibatkan jutaan ringgit perlu dilakukan kerana kawasan itu memerlukan gimnasium, padang serta beberapa fasiliti lain untuk memastikan pemain dapat berada dalam keadaan optimum menjelang hari perlawanan.