JELEBU: Masyarakat Orang Asli di Daerah Jelebu digesa mengutamakan bidang pendidikan anak-anak kerana ia adalah aset yang akan mengubah nasib dan taraf hidup mereka pada masa depan.
Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, adalah harapan beliau agar anak-anak ini dapat menerima sistem pendidikan formal sehingga ke tahap yang tertinggi.
“Saya minta pada ibu bapa di kalangan masyarakat Orang Asli, pastikan anak-anak kita tidak tercicir dalam bidang pendidikan.
“Apabila berjaya nanti, dengan karier atau pekerjaan yang lebih baik, ia mampu mengubah nasib keluarga.
“Justeru itu, saya mohon ibu bapa agar ambil serius betapa pentingnya pendidikan demi masa depan anak-anak,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin berkata demikian di Majlis Perasmian Sukan Tahunan dan Hari Apresiasi Tabika KEMAS JAKOA di Kampung Orang Asli Putra.
“Bak kata Saudara Sugeh (Pengerusi Tabika KEMAS Kampung Putra), hari ini adalah hari bertuah untuk Kampung Putra.
“Ya, kita bertuah dengan adanya anak-anak hebat dari masyarakat Orang Asli ini,” ujar Jalaluddin.