SEREMBAN: Program Hari Bertemu Rakyat di Pusat Khidmat ADUN Palong menjadi platform penting dalam mendekatkan pemimpin dengan masyarakat setempat, sekali gus membolehkan pelbagai isu dan keperluan rakyat disampaikan secara terus.
Menerusi program itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohd Mustafa Nagoor atau dikenali sebagai Pak Mus berkesempatan bertemu orang ramai dalam suasana mesra dan penuh ukhuwah.
Menurutnya, sesi tersebut memberi ruang untuk beliau mendengar sendiri perkongsian, pandangan serta keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
“Pertemuan ini memberi ruang untuk saya mendengar sendiri perkongsian, pandangan serta keperluan rakyat dalam suasana yang mesra,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM14,350 melibatkan pelbagai bentuk bantuan termasuk kepada masjid, persatuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bantuan institusi pengajian tinggi (IPT), kebajikan perubatan serta pendidikan.
“Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Diharapkan juga agar keberkatan Hari Jumaat dapat membawa kebaikan dalam setiap usaha membantu masyarakat selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.,” tambahnya.



