JELEBU: Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) perlu memainkan peranan dalam mempromosikan amalan hidup sihat dan menjamin kualiti hidup dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata ia harus dimulakan di peringkat setempat dengan bantuan jabatan bertanggungjawab.
“Panel Penasihat Klinik Kesihatan di bawah Klinik Kesihatan perlu membantu supaya apa yang diagendakan oleh aspirasi perpaduan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan dapat disampaikan kepada masyarakat menerusi panel penasihat yang dilantik daripada kalangan pemimpin masyarakat dan ketua-ketua komuniti.
“Penduduk Negeri Sembilan mencatat negeri tertinggi dengan kadar penyakit diabetes iaitu hampir 64 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Kem Diabetes Peringkat Daerah Jelebu di FELDA Pasoh 1, di sini.
Program ini adalah salah satu usaha istiqamah Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu dalam menyokong agenda kesihatan nasional dan memperkasakan komuniti ke arah gaya hidup yang lebih sihat.
“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, 15 peratus rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang lebih membimbangkan enam peratus daripada mereka tidak tahu bahawa mereka sebenarnya menghidap penyakit ini.
“Kem Diabetes yang diadakan pada hari ini diharapkan dapat memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada komuniti tentang pencegahan, pengurusan serta rawatan penyakit diabetes,” kata Pegawai Kesihatan Daerah Jelebu Dr. Mohd Safrin Mohamad Bashaabidin.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu yang berlangsung ini telah menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, konsultasi pemakanan sihat, kenali ubat anda, klinik berhenti merokok, kesihatan remaja dan warga emas, kesihatan lelaki dan pemeriksaan mata secara percuma.