JELEBU: Kementerian Kerja Raya telah meluluskan pemasangan lampu jalan baharu di lapan lokasi melibatkan 63 batang lampu jalan di Parlimen Jelebu.
Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, kos keseluruhan mencecah RM0.8 juta dan dijangka siap pada bulan November 2024.
“Lapan lokasi yang bakal mendapat kemudahan lampu jalan tersebut adalah Jalan Seremban – Simpang Pertang (FT086, Seksyen 20.4); Jalan Seremban – Simpang Pertang (FT086, Seksyen 50.3); Jalan Tampin – Kuala Pilah – Manchis (Simpang Pertang – Felcra Belia Lakai Berhad) (FT009, Seksyen 68.5; Seksyen 75 & Seksyen 84); Jalan Seremban – Kuala Klawang (FT086, Seksyen 54.5); Jalan FELDA Pasoh 1 dan 4 (FT1281, Seksyen 2 & Seksyen 4).
“Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia yang cakna dan ambil serius berkaitan isu pemasangan lampu jalan baharu di dalam kawasan Parlimen Jelebu,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin berkata, pihak kementerian juga akan mempertimbangkan cadangan saya untuk pemasangan lampu jalan di jalan besar dari FELDA Lui Barat ke FELDA Sungai Lui di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya oleh agensi pusat.
“Secara umumnya berdasarkan inventori lampu jalan terkini, kawasan Parlimen Jelebu memiliki 146 lampu jalan dan 108 batang tiang melibatkan 2,145 meter panjang kabel,” ujar Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang.