Parlimen PD tinjau tebing sekolah runtuh

PORT DICKSON: Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson menjalankan tinjauan segera ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Sirusa susulan kejadian runtuhan tebing di kawasan sekolah berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan warga sekolah.
Tinjauan tersebut dilakukan selepas pasukan Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson selesai menjalankan lawatan di Balairaya Taman PD Utama, sebelum bergerak ke lokasi kejadian bagi melihat sendiri tahap kerosakan dan risiko yang wujud.
Menurut kenyataan Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson, kejadian runtuhan itu memerlukan perhatian serius memandangkan kedudukan tebing berkenaan berhampiran kawasan aktiviti pelajar dan guru.

“Keselamatan anak-anak sekolah serta para pendidik adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Keadaan struktur tanah di kawasan ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan risiko runtuhan lebih besar,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson memaklumkan akan segera berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson serta agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan penilaian teknikal terperinci.
Tindakan pembaikan segera akan diusahakan bagi memastikan keselamatan warga sekolah terjamin dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memantau perkembangan isu tersebut sehingga langkah penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan warga SK Kampung Baru Sirusa.



