SEREMBAN: Inisiatif Peduli Rakyat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan, di mana secara tidak langsung dapat meringankan kos sara hidup golongan miskin, golongan yang terpinggir, dan individu yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam (Repah-PH) berkata, bagi menjayakan matlamat United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 12.3, iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan (Food Waste) keseluruhan yang dikeluarkan oleh industri peruncitan dan pengguna pada tahun 2030, Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Food Bank yang diselaraskan dengan kerjasama KPDN Negeri Sembilan dan pelbagai pihak termasuk NGO dan sektor swasta.
Pengedaran bantuan keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan barangan makanan lain dilaksanakan melalui Pusat Khidmat Rakyat DUN di Negeri Sembilan.
Data mengikut tahun adalah seperti berikut:
Tahun 2022: 3,600 pek bakul makanan dan KPDN (30 permohonan berjaya diselaraskan dengan kerjasama Yayasan AlManjie dan Muhibbah Foodbank).
Tahun 2023: 3,300 pek bakul (pelbagai) dan KPDN (sebanyak 13 daripada 20 permohonan telah diselaraskan dengan kerjasama Mydin Holdings Sdn Bhd dan Muhibbah Foodbank).
Tahun 2024: 3,700 pek bakul makanan (bermula bulan December 2024).
Program ini juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak dalam menjamin pengagihan bantuan yang lebih meluas.
Ini menunjukkan usaha yang konsisten dalam memperkukuhkan jaringan sokongan kepada mereka yang memerlukan serta mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan terhadap kebajikan rakyat.
Veerapan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.