PUTRAJAYA: Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 buat kali pertama pada kadar RM150 setiap pelajar pada Sesi Persekolahan 2025/2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Bantuan Awal Persekolahan yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2012 untuk meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga anak Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
“Sisi bantuan ini penting sebagai usaha untuk terus memastikan anak-anak kita diberikan bantuan yang sewajarnya untuk meneruskan pendidikan dalam arus perdana.
“Bantuan RM150 itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan kerajaan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“Agihan bantuan ini kepada pelajar Tingkatan Enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025, manakala pelajar baharu pula akan menerimanya pada Julai tahun hadapan.
“Perluasan Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar Tingkatan Enam adalah cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan keperluan persekolahan anak-anak,” ujar Fadhlina.
Fadhlina berkata, inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.
“Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan Enam,” katanya.