BeritaMenarik

Pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia mampu cegah demam denggi

NILAI: Program pelepasan nyamuk Aedes Aegypti BerWolbachia (Aedes Wolbachia) mampu mencegah wabak denggi.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, YB Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, program ini merupakan julung Kali dijalankan di Negeri Sembilan bertujuan sebagai langkah proaktik untuk mengekang peningkatan kes dan wabak denggi di negeri ini.

“Nyamuk Aedes Aegypti BerWolbachia jantan dan betina akan dilepaskan di lapangan dan kemudiannya akan mengawan dengan nyamuk Aedes liar.

“Hasil daripada pengawanan ini akan menyebabkan bakteria Wolbachia tersebar di dalam populasi nyamuk Aedes di lapangan.

“Bakteria Wolbachia seterusnya bertindak merencat perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk dan seterusnya akan menyekat penularan virus demam denggi,” ujar beliau.

Tengku Zamrah berkata demikian di Majlis Perasmian Pelancaran Program Perlepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Apartment Desa Anggerik, Nilai.

Menurut Tengku Zamrah, selaras dengan hasrat untuk mewujudkan alam yang bebas dari pencemaran bahan kimia akibat penggunaan racun serangga, kaedah nyamuk BerWolbachia ini adalah dijamin selamat dan tidak berbahaya kepada manusia kerana ianya termasuk dalam kaedah pencegahan secara biologi dan tidak memberi impak kepada kesihatan manusia.

“Terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seremban, SWCORP, SWM, USIM dan COMBI telah bersama menjayakan program ini.

“Marilah sama-sama kita menjaga kebersihan persekitaran rumah untuk membina komuniti yang sihat serta bebas daripada ancaman demam denggi,” kata Tengku Zamrah.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Harlina Abdul Rashid; Pegawai Kesihatan Daerah Seremban, Dr. Noor Khalili Mohd Ali; Pengarah Pusat Kesihatan USIM, Dr. Nik Mohd Shafikudin Md Tajuddin; Pengerusi COMBI, Negeri Sembilan. Encik Shamsul Yahaya dan Pengerusi KRT Taman Desa Anggerik.

 

Show More

Related Articles

Back to top button