SEREMBAN: Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Mustapha Nagoor berkata, pembangunan pemain yang sistematik dan bermula dari peringkat akar umbi, mampu memajukan sukan bola sepak tanahair.
“Kita mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka perlu digilap dari peringkat sekolah lagi agar suatu masa nanti, kita mempunyai pemain yang berkualiti tinggi,” katanya.
Mustapha berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Padang Bola Sepak Sintetik PBNS, Rahang.
Sesi latihan tersebut melibatkan 62 orang pemain berusia 11 dan 12 tahun dari Negeri Sembilan Soccer Academy (NSSA) di bawah naungan PBNS.
Sesi latihan ini memberi peluang untuk melihat bakat-bakat muda berkembang di bawah bimbingan PBNS.
“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan bakat bola sepak dalam kalangan anak-anak muda di Negeri Sembilan.
“Inisiatif seperti ini membantu melatih dan memantapkan lagi bakat-bakat bolasepak tempatan.
“Terima kasih di atas sokongan dan perhatian semua pihak terhadap pembangunan sukan di Negeri Sembilan.
“Semoga inisiatif ini terus membawa kejayaan kepada pemain-pemain muda negara,” ujar Mustapha yang juga ADUN Palong.