BeritaNaratif Kito

Pembuat polisi yang disibukkan dengan urusan PBT

Ahmad Shahir Mohd Shah

Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah institusi tertinggi bagi membuat polisi dan dasar negeri.

Pembuat-pembuat polisi yang dipilih semasa pilihanraya sepatutnya bukan orang-orang yang ‘tangkap muat’ atau yang hanya terpaling tinggi jawatan dalam parti.

Lebih memalukan, pembuat polisi gagal membaca atau berhujah dalam sidang dewan sehinggakan rakyat melihat pembuat polisi hanya sembang kosong semasa sidang dewan.

Rakyat tahu setiap kali sidang dewan, ADUN-ADUN menerima elaun kehadiran. Rakyat semakin cerdik dan celik.

Bagi pihak kerajaan, ia bukanlah satu yang sukar kerana pelbagai peringkat dan agensi kerajaan akan mengemukakan dasar dan polisi yang baharu untuk diangkat ke sidang DUN jika melibatkan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Manakala pihak pembangkang perlu terlibat jika ruang perbahasan di buka oleh YDP Dewan.

ADUN Pembangkang sebenarnya mempunyai ruang yang sangat luas ketika sidang berjalan.

Mereka boleh bangun dan mencelah atau menjadi pembahas utama dalam setiap aturan mesyuarat.

Tetapi, apabila melihat kepada inti ucapan perbahasan mereka, dan setiap ADUN Pembangkang yang diberikan masa berbahas, hampir keseluruhan ucapan bercakap perkara yang melibatkan urusan teknikal yang melibatkan hal-hal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mungkin mereka mahu mengangkat isu tempatan kawasan mereka. Tetapi ini membuatkan pemerhati politik di luar melihat pihak pembangkang Negeri Sembilan gagal membawa satu dasar atau polisi baru yang boleh dijadikan agenda mereka jika menjadi kerajaan.

Sebenarnya ini bukan soal ADUN Kerajaan atau Pembangkang. Tetapi ini adalah soal sejauh mana kefahaman semua pihak yang masuk dalam pentas politik.

Sudah sampai masa untuk masyarakat dididik dengan peranan sebenar sistem pentadbiran dalam negeri ini.

Dua entiti ini harus dijadikan sebagai subjek yang mudah difahami oleh rakyat.

Jika dahulu orang melihat seorang ADUN yang bergelar YB itu satu sosok yang diangkat dan diberi penghormatan, itu perkara biasa. Tetapi jangan sampai kita melupakan peranan mereka yang sebenar.

Jika Yang Berhormat itu hanya dijadikan tempat mendapatkan habuan atau sumbangan, maka masyarakat kita telah merosakkan fungsi utama dan peranan sebenar ADUN tersebut.

Kita sudah lama melihat kerenah dan perangai Yang Berhormat yang kadang-kadang menyakitkan mata.

Ada yang berjanji, tapi tak boleh laksana. Ada yang bercakap tidak mahu kalah, ada yang hanya mahukan undi.

Ada yang tidak peduli selepas menang pilihanraya dan turun hanya tunjuk muka. Ini bukan salah Yang Berhormat tersebut, tetapi salah masyarakat yang salah mengangkat Yang Berhormat sehingga mereka tidak tahu peranan sebenar mereka.

Jadi, benarlah apa yang disebut oleh Abraham Lincoln, “Kerajaan itu adalah dari rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat”.

Isunya, rakyat yang memilih pemimpin yang salah, dan untuk rakyat perlu menerima kesan yang panjang hasil dari apa yang mereka lakukan.

Begitu juga dengan peranan Ahli Majlis. Ini sedikit terbalik berbanding ADUN.

Orang melihat Ahli Majlis hanyalah mereka yang dilantik untuk ronda-ronda di taman perumahan dan memantau projek longkang tersumbat atau pokok tumbang.

Ada juga yang melihat Ahli Majlis hanya akan datang di Pejabat Majlis Daerah untuk bermesyuarat sebulan sekali. Dapat “crown” dan parking percuma di mana-mana tapak parking yang ada.

Inilah masalah dogma masyarakat kita. Yang Berhormat terlebih angkat, yang Ahli Majlis di turun taraf.

Sebab itu dua entiti ini menjadi masalah dan peranan mereka disalah fahami oleh sebahagian besar masyarakat kita.

Akhirnya mereka sendiri keliru dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Perkara yang wajib diangkat ke peringkat Negeri, DUN, tidak dibincangkan secara lumat. Tetapi disibukkan dengan urusan peringkat PBT.

Banyak perkara yang sepatutnya dibincangkan secara terperinci pelaksanaannya di peringkat PBT, tetapi tidak dibincangkan kerana Ahli Majlis yang dilantik sibuk tengok longkang dan jalan.

Ahli Majlis disibukkan dengan perkara yang tidak membantu menaikkan taraf perkhidmatan masyarakat.

Sudah sampai masa untuk masyarakat berubah. Yang Berhormat berubah dan Ahli Majlis juga berubah. Negeri Sembilan sudah tidak boleh kekal lagi ditakuk lama.

Jangan sebab mahu menjaga status quo Yang Berhormat, kita tidak mahu berubah.

Jangan sebab kita mahu Ahli Majlis terus memantau longkang tersumbat dan jalan rosak, kita biarkan hal-hal kecil dibincangkan di peringkat DUN. Jika begitu, lemahlah pentadbiran negeri ini.

Disibukkan dengan hal yang tak berkait. Dibebankan pada orang yang salah.

Bersidang dari pagi sampai petang, isunya kecil. Berdebat antara ADUN sehingga bertegang urat, tapi isunya tidaklah berimpak tinggi.

“Masuk angin, keluar asap” bak kata Sudin dalam filem Bujang Lapok.

Ketua Editor
Ahmad Shahir Mohd Shah
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button