Berita

Pendidikan tiang seri pembangunan negeri dan negara

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menekankan bahawa kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung pada pembangunan fizikal, tetapi juga kepada kualiti modal insan yang memiliki ilmu, kemahiran dan nilai yang tinggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata, melalui pengukuhan TVET, Kerajaan Negeri komited melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri semasa.

“Dalam konteks ini, kolaborasi antara sekolah, politeknik, kolej vokasional, dan institusi pengajian tinggi amat penting bagi memastikan latihan kemahiran sentiasa relevan dan berimpak tinggi.

“Kita kini berada dalam era Malaysia MADANI, yang menekankan nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Nilai-nilai ini turut menjadi teras kepada pelaksanaan STEM, TVET dan pendidikan digital di Negeri Sembilan.

“Bidang STEM bukan sekadar tentang sains dan teknologi, tetapi melatih minda murid agar berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah dan mencipta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Aminuddin lagi, TVET pula memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mempelajari kemahiran teknikal dan vokasional yang menjamin masa depan kerjaya.

“Aspek pendidikan digital melengkapkan kedua-duanya dengan membuka akses tanpa sempadan kepada ilmu, peluang keusahawanan, serta inovasi kreatif yang berasaskan teknologi.

“Ketiga-tiga bidang ini perlu disepadukan agar kita mampu melahirkan generasi Negeri Sembilan yang holistik iaitu yang berilmu, berkemahiran dan beretika,” jelas Aminiddin. \

Aminuddin berkata demikian di Festival Pendidikan Negeri Sembilan Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Grand Hall Port Dickson.

Festival ini berlangsung selama dua hari iaitu 16 hingga 17 Oktober 2025 dengan tema dengan tema yang sangat menarik dan progresif — ‘Moh Poie PD! : STEM, TVET dan Digital’.

Show More

Related Articles

Back to top button