
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif Kedua di antara Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja SAINS (KPPSAINS) di Klana Resort, Seremban.
CEO SAINS, Mohd Yazid Ahmad dalam ucapan beliau berkata, perjanjian kolektif ini bukan sekadar dokumen, tetapi ia melambangkan kesepakatan, persefahaman dan keseimbangan kepentingan antara majikan dan pekerja dalam memastikan kesejahteraan tenaga kerja serta kelangsungan operasi syarikat.
“Rundingan yang telah kita lalui mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mencapai persetujuan yang adil, telus, dan memberi manfaat kepada semua.
“Sebagai organisasi yang mengutamakan kualiti perkhidmatan dan kecekapan operasi, SAINS sentiasa menitikberatkan kebajikan pekerja,” ujarnya.
Mohd Yazid tambah, kejayaan menandatangani Perjanjian Kolektif Kedua ini membuktikan bahawa keharmonian industri dapat dicapai melalui komunikasi yang terbuka, kepercayaan dan semangat kerjasama yang kukuh antara Kesatuan dan pengurusan syarikat.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, saya berharap kita semua akan terus mengukuhkan hubungan kerja yang harmoni dan produktif.
“Pekerja yang sejahtera dan dihargai pasti akan memberi impak positif kepada peningkatan prestasi syarikat, mutu perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh semangat, profesionalisme, dan komitmen demi masa depan SAINS yang lebih cemerlang,” kata Mohd Yazid.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Lembaga Pengarah SAINS, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim; Penasihat Undang-undang Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah SAINS, Dato’ Muzalmah Mustapha Kamal; Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPP), Khalid Jali; Timbalan Presiden Malaysian Trades Union Congress (MTUC), Dato’ Mohamed Dauzkapli Nor Dato’ Ghazali dan Tc.Racidi Ghazali, Presiden KPPSAINS.