Perumahan Strata Terjejas: Pemilik Abaikan Bayaran Penyelenggaraan

SEREMBAN: Joint Body Management (JMB) dan Management Corporation (MC) di perumahan strata menghadapi cabaran besar dalam kutipan caj penyelenggaraan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, keengganan pemilik unit membayar yuran ini menjejaskan penyelenggaraan, kebersihan, dan keselamatan kawasan.
“Kegagalan mengutip caj penyelenggaraan menyebabkan lif rosak, sistem perparitan tersumbat, dan kebersihan terabai.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan di kawasan perumahan. Ada pemilik yang tidak membayar tetapi tetap menyewakan unit mereka, memberi kesan buruk kepada penyewa dan komuniti secara keseluruhan.
“Ahli Jawatankuasa JMB/MC yang berkhidmat secara sukarela terpaksa berdepan masalah ini, dengan beberapa JMB/MC berhadapan tunggakan berjuta-juta ringgit.
“Tugas mereka menjadi lebih sukar apabila perlu mendesak pemilik unit untuk menjelaskan bayaran tertunggak, yang kadangkala mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
“Kekurangan dana ini turut menjejaskan perancangan dan pelaksanaan projek pembaikan dan penambahbaikan kemudahan awam,” kata Arul Kumar.
Arul Kumar turut menegaskan bahawa langkah agresif perlu diambil termasuk melantik ejen khas bagi menguruskan kutipan cukai dan tunggakan penyelenggaraan.
“Pelantikan ejen profesional dapat membantu memastikan proses kutipan lebih teratur dan berkesan.
“Selain itu, tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pemilik unit yang culas juga boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan kadar pematuhan pembayaran.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat memastikan pemilik unit strata menunaikan tanggungjawab mereka, tetapi juga membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk secara keseluruhan.
“Dengan pengurusan yang lebih sistematik, persekitaran yang lebih bersih dan selamat dapat dikekalkan, memberikan manfaat kepada semua pihak dalam komuniti strata,” tambah Arul Kumar.