Projek bekalan air Port Dickson diperkukuh melalui pelaksanaan inisiatif utama

SEREMBAN: Pelaksanaan projek bekalan air di Port Dickson terus diperkukuh melalui beberapa inisiatif utama yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan kestabilan dan kecekapan agihan air kepada penduduk daerah berkenaan.
Menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata pelbagai projek sedang dilaksanakan melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi memenuhi keperluan semasa serta menampung pertumbuhan pesat kawasan itu.
Antara projek yang sedang berjalan ialah cadangan mereka bentuk dan membina sebuah rumah pam bersama sistem pengepaman di Kolam Teluk Kemang yang kini mencapai 81 peratus kemajuan fizikal.
“Selain itu, kerja pemasangan paip Mild Steel bersaiz 200 milimeter dari Kolam Chuah ke Kolam Bukit Pelandok turut berada pada peringkat semakan reka bentuk oleh juruperunding daripada PAAB.
“Pemasangan paip baharu bersaiz 800 milimeter sepanjang 44 kilometer dari Loji Rawatan Air Sawah Raja ke Kolam Teluk Kemang juga sedang dalam proses rekabentuk, manakala projek meroboh dan membina tangki baharu di Bukit Permata berkapasiti lima juta gelen sehari turut berada di peringkat yang sama,” katanya.
Aminuddin berkata kerja-kerja penggantian paip lama di beberapa kawasan turut dilaksanakan melalui peruntukan SAINS, PAAB dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Satu projek bawah peruntukan SAINS telah siap sepenuhnya iaitu penggantian paip asbestos cement bersaiz 100 milimeter kepada paip UPVC sepanjang 1,300 meter di Ladang Tarzan dengan Perakuan Siap Kerja dikeluarkan pada 15 Oktober 2025.
“Tiga lagi projek yang dibiayai PAAB kini dalam proses rekabentuk melibatkan jajaran Kolam Sirusa 2 ke Sunggala dan PD Utama, membabitkan penggantian paip bersaiz antara 375 hingga 450 milimeter,” jelasnya.
Menurutnya, PETRA pula telah meluluskan tujuh projek penggantian paip baharu di Port Dickson melibatkan laluan utama antaranya Jalan Teluk Kemang, Jalan Pantai Batu 9 hingga Batu 10, Kg. Sawah Sunggala, Outlet Tangki Bukit Kuau Lama, Bandar Sunggala, Taman Happy dan kawasan Shell Gate.
Projek tersebut melibatkan penggunaan paip Ductile Iron, Mild Steel, HDPE dan UPVC yang bersesuaian dengan keperluan teknikal kawasan masing-masing.
Aminuddin menegaskan Kerajaan Negeri komited memastikan semua projek bekalan air berjalan mengikut jadual bagi menjamin kestabilan bekalan untuk penduduk Port Dickson.



