Projek naik taraf Jalan Felda Bukit Rokan Utara siap

Hari ini saya telah mengambil masa untuk meronda dan meninjau keadaan jalan dari persimpangan Jalan N17 (Dangi – Bahau) menuju ke Jalan FT1276, Felda Bukit Rokan Utara.
Saya berpuas hati kerana jalan ini telah siap diturap semula dengan lebih baik, garisan jalan diperbaharui, penghadang jalan, pemasangan pepaku jalan, papan tanda arah baharu, lampu amaran serta perabot jalan turut dinaiktaraf.
Lebih penting lagi, dua selekoh merbahaya yang sering menjadi lokasi kemalangan juga telah dinaiktaraf bagi meningkatkan keselamatan pengguna.
Projek naik taraf jalan ini telah melibatkan peruntukan berjumlah RM6.2 juta bagi tahun 2025 sahaja, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat khususnya dari aspek keselamatan jalan raya.
Walau bagaimanapun, masih terdapat keperluan untuk pemasangan lampu jalan di laluan ini kerana keadaan amat gelap pada waktu malam dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, saya juga ingin menarik perhatian pihak JKR agar memberi fokus kepada keperluan pencahayaan dan pelebaran persimpangan Felda Bukit Rokan Barat.
Hal ini amat penting untuk dimasukkan dalam perancangan pembangunan naik taraf seterusnya memandangkan kawasan ini juga menjadi laluan utama penduduk dan sering padat dengan kenderaan.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak JKR Jempol serta Selia Selenggara Selatan yang cakna dan prihatin dengan aduan saya yang telah dikemukakan pada tahun lepas dan akhirnya berjaya dilaksanakan sebelum bulan Syawal tahun ini.
Ini adalah satu lagi inisiatif saya sebagai ADUN Jeram Padang dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya keselamatan pengguna jalan raya di kawasan ini terus terjamin.
‘Jeram Padang Tetap Juara’
Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang